Saturday 12 September 2009

Kad Raya dari Osma


Terima kasih kepada Osma Harun kerana kirimkan saya sekeping kad raya ketika zaman orang mula beraleh kepada kaedah elektronik untuk tujuan itu. Rupanya dia bukan setakat rakan sekolah masa SKAT dan SMJ dan rakan sekampung di Teluk Gelam, tetapi ada kaitan kekeluargaan. Abang sulong mak dia kawin dengan kakak sepupu saya. Maklumat ini tercungkil bila dia baca salasilah keluarga saya dalam blog.

Pak Long dia tu saya panggil abang chik. Maknanya dia kena panggil saya pak lang! he he he. Sebab sepupu dia Olah, Piah, Bihah dan Tapa panggil saya Pak Lang.


Keluarga Bang Chik Arop dengan Kak Chik Yam memang rapat dengan saya. Masa rumah depa tepi sungai Kepala Batas dulu, saya masih sekolah rendah dan selalu pergi kesana untuk mandi sungai. Kak Chik Yam suka pancing ikan lampam jawa dan dia buat pekasam dengan ikan tersebut.

Bagaimanapun jodoh mereka tidak sampai akhir hayat. Suatu ketika bila balik kampong, ketika menziarah , saya dapati mereka tidak lagi duduk sebumbung. Bang Chik Arop berkawin baru dengan Kak Besah ( Bibah – saya tidak pasti) dan Kak Chik tinggal dengan anak-anaknya. Bang Chik telah kembali ke rahmatullah ( moga Allah merahmatinya) dan kak chik masih sehat dan kini tinggal dengan Piah di Bandar Darul Aman. Tapa menetap di Segamat, Bihah di Ipoh dan Olah di Jitra. Semenjak dewasa, saya pernah jumpa semua depa kecuali Tapa yang hanya dapat berkomunikasi dengan HP saja.

Kak Chik Yam dengan kakaknya Kak Chag Timah di bela oleh bapa saya sejak kecil selepas Wa saya ( abang bapa saya) di bunuh. Wa Dolah seorang pegawai perhutanan pada zaman British.

Di Teluk Gelam, kalau dicungkil lagi, saya jangkakan 80% penduduknya ada pertalian keluarga. Pak Long Ali Gong, Pak Ndak Hasan, Pak Ngah Hamad, Pak Su Baharom ( ayahnya Fadil Baharom), Pak Long Ku Ahmad dan ramai lagi. Kat ayah Osma saya panggil Pak Anjang Harun.

Bukan takat Osma saja rakan sekolah yang ada kaitan keluarga tetapi ramai lagi. Antaranya Fazil Baharom, Saad Saari, Wan Salim, Hashim Ismail, Zakaria Ahmad.