Saya sedang mengemas pejabat bila tiba tiba dia talipon. Katanya dia ada mesyuarat di Salak Tinggi. Kebetulan balik raya baru ni di kampung, dia tidak sempat berjumpa saya. Maka kami pun pekena teh o limau dengan roti pisang di Pelita Cafe di pinggir pekan Bandar Baru Salak Tinggi.
Walaupun pun rakan sekampung di Kedah sejak kecil dan jiran seperantauan di Selangor tapi kami jarang bertemu. Tugas harian yang sibuk mungkin alasan munasabah yang biasa diberi. Begitulah.
Masa kanak-kanak di kampung, kami sama-sama menyerkap ikan di bendang. Mengelau ikan haruan di batas ban pada waktu malam musim kemarau sehingga pernah di usik syaitan. Sama sama ponteng mengaji Quran di madrasah kerana pi tengok TV cerita kombat The Gallant Man dekat Kem Tok Jalai. Sama sama berenang dalam alur taliair dan kolam korek tanah dekat Kampong Naga. Sama sama ragas pokok keriang dot, muyu dan remia. Pendekata dia adalah rakan rapat alam kanak-kanak di kampung dulu.
Sebenarnya ada seorang lagi rakan kami. Kami bertiga semuanya. Dan kami namakan diri kami bertiga sebagai Yet. Nama sebenar dia ialah Abdullah Md Din dan yang seorang lagi tu Baharin Othman. Bagaimanapun Yet Baharain telah kembali ke rahmatullah dalam satu kemalangan di Pekan Tok Jalai lima tahun lalu.
Yet Abdullah masuk sekolah Arab di Alor Setar kemudian ke Kolej Islam Kelang, UKM dan UK. Dia pernah bertugas sebagai guru, pensyarah dan Pengetua beberapa kolej dan maktab. Kini salah seorang peneraju sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Tahniah diatas pencapaian beliau sebagai budak kampung yang dulu belemoih dengan lanyau.
Yet Bahrain menerus pelajaran nya di Kedah dan bertugas di beberapa jabatan kerajaan di sana. Tugas terakhir beliau di Jitra sehingga akhir hayatnya.
Dulu kami sering berjumpa pada musim cuti raya di Kampung Telok Gelam , kampung tempat kami dilahir dan dibesarkan. Kini kampung tersebut turut menjadi asing kepada Yet Abdullah walaupun dia masih mempunyai emak untuk diziarahi kerana peredaran zaman merubah banyak perkara.
No comments:
Post a Comment